Kewujudan program e-Desa Kundasang adalah sejajar dengan matlamat rangka kerja Nasional Bridging the Digital Divide (BDD) yang merancang untuk merapatkan jurang digital di kalangan golongan yang berisiko tinggi seperti komuniti luar bandar di negeri Sabah dengan penggunaan ICT. Program ini adalah sebagai program perintis, di mana para petani merupakan kumpulan sasaran yang dipilih untuk mewakili golongan miskin dan kurang maklumat.
Justeru itu, Kampung Bundu Tuhan telah dipilih sebagai tapak program perintis e-Desa Kundasang yang akan mempertingkatkan taraf hidup mereka dengan mengintegrasikan penggunaan maklumat dan perkhidmatan yang berteraskan ICT. Program ini juga bertujuan untuk mempertingkatkan kualiti hasil pertanian mereka yang bebas daripada penggunaan racun perosak yang tidak terkawal.
Antara objektif utama program ini adalah seperti berikut:
- Menyediakan satu platform komunikasi untuk komuniti sasaran mencapai sumber maklumat yang berkaitan dengan pertanian, alam sekitar, kesihatan, pasaran dan perkhidmatan kerajaan secara online
- Membolehkan para petani memasarkan hasil pertanian mereka secara terus kepada pembeli melalui pasaran online
- Menyediakan perbincangan forum untuk membuat perbincangan secara berkumpulan dan mengutarakan persoalan yang dihadapi di kalangan para petani dan pakar-pakar penasihat yang berkaitan
- Melatih komuniti sasaran dengan kemahiran ICT yang asas
- Menyediakan program seminar kesedaran amalan pertanian yang baik, alam sekitar, dan kesihatan
Sejajar itu, Program e-Desa Kundasang akan menyediakan sebuah Pusat e-Desa di kampung Sokid, Bundu Tuhan yang mana dilengkapi dengan 6 buah komputer dengan kemudahan capaian Internet. Satu laman web tersendiri yang beralamat http://www.e-desa.net.my juga disediakan. Dengan kemudahan komputer yang disediakan di Pusat e-Desa, para petani akan dapat mencapai maklumat dan sumber rujukan yang disediakan dalam laman web ini dengan mudah dan pantasnya.
Sehubungan dengan itu, latihan amali ICT juga diberikan kepada petani-petani untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam penggunaan ICT. Dengan itu, program pembangunan komuniti menjadi satu elemen yang penting demi memantapkan pelaksanaan program e-Desa Kundasang di kampung Bundu Tuhan ini. Program pembangunan komuniti ini bukan sahaja menyediakan taklimat mengenai Program e-Desa Kundasang, bahkan seminar kesedaran dan bengkel juga akan dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan.
Tujuan utama Jawatankuasa Pemandu Program e-Desa Kundasang ditubuhkan adalah untuk memainkan peranan yang penting dari segi memandu, menerajui dan mempekenalkan program, menyediakan halatuju dan garispanduan, serta mempunyai kuasa untuk membuat dasar dan keputusan.
Program e-Desa Kundasang bukan sahaja berfaedah kepada golongan petani, tetapi ia juga memberi peluang kepada masyarakat dan para pelajar tempatan di kampung Bundu Tuhan untuk mempertingkatkan taraf hidup mereka.
|